Wednesday 20 February 2013

DEFINISI PENTERJEMAHAN


Penterjemahan

Penterjemahan atau alih bahasa ialah perbuatan mentafsir makna sesuatu teks dan menerbitnya semula dalam bahasa yang lain. Tujuan penterjemahan adalah untuk menghasilkan satu karya terjemahan (teks sasaran) yang membawa makna yang sama dengan sesuatu karya bahasa asing (teks sumber). Penterjemahan merupakan satu aktiviti yang penting untuk menyebarkan ilmu pengetahuan kerana ia membolehkan masyarakat menikmati ilmu pengetahuan daripada budaya asing.Biasanya, terjemahan merupakan pekerjaan manusia, tetapi selaras dengan perkembangan teknologi, penterjemahan sudah boleh dibantu dengan mesin.


Teori terjemahan
Teori terjemahan dikemukakan awal oleh Etienne Dolet (1509-1546) pada awal tahun 1540. Prinsip-prinsipnya adalah:

Penterjemah hendaklah benar-benar memahami isi dan hasrat penulis teks asal. Penterjemah mestilah menguasai dengan baik bahasa asal dan bahasa penerima terjemahan itu.
·         Penterjemah tidak boleh menterjemah perkataan demi perkataan oleh sebab perbuatan itu akan merosakkan makna asal teks tersebut dan menyebabkan terjemahan itu tidak indah dibaca, walhal teks asalnya mungkin sangat sedap dan mudah dibaca.
·         Penterjemah hendaklah menggunakan bentuk-bentuk bahasa yang biasa digunakan di dalam bahasa penerima untuk menggantikan bentuk-bentuk bahasa asalnya.
·         Penterjemah mestilah mencipta semula kesan dan semangat keseluruhan teks asal.
Dolet juga menyatakan bahawa amat penting untuk seorang penterjemah mengetahui semangat dan tujuan pengarang asal. Selain itu, beliau juga menyeru para penterjemah supaya tidak melakukan kesilapan terjemahan harfiah. Kaedah yang terbaik adalah dengan menterjemah menggunakan gaya bahasa harian. Kaedah ini amat sesuai terjemahan untuk pembacaan orang awam. Manakala menurut beliau unsur stilistik penting hanya untuk terjemahan yang serius sahaja.


Prinsip penterjemahan
Penerjemahan merupakan satu pekerjaan yang memerlukan kesungguhan. Ini adalah kerana penerjemahan yang tidak bersungguh-sungguh akan menimbulkan kekeliruan pembaca dan lebih-lebih lagi menimbulkan salah faham pembaca terhadap maksud pengarang teks sumber. Oleh itu, penerjemahan seharusnya dilakukan dengan berpandu kepada prinsip-prinsip yang tertentu.
·         Tidak mengubah maksud pengarang teks asal.
·         Prinsip ini adalah jelas untuk para penterjamah. Tetapi, pada praktikalnya para penterjemah sebenarnya sukar untuk mengelakkan diri untuk mengubah maksud pengarang secara 100% kerana faktor perbezaan budaya dan bahasa. Tetapi, ini tidak bermaksud penterjemah diizinkan mengubah maksud pengarang teks asal dengan segaja.
·         Menghasilkan terjemahan yang mudah difahami pembaca.
Pentejemahan merupakan sebahagian daripada komunikasi. Oleh itu, sesuatu terjemahan sebaik-baiknya mudah difahami supaya tujuan komunikasi antara pembaca dengan pengarang asal dapat dicapai.
·         Menghormati tatabahasa penerima.
Dalam proses menterjemahkan, tatabahasa bahasa penerima harus dihormati. Ini bermaksud tatabahasa asing tidak seharusnya dipaksakan ke dalam teks terjemahan.
·         Menterjemah Makna Bahasa bukan menterjemah bentuk bahasa.
Dalam proses penterjemahan, makna harus diberi fokus. Penterjemah tidak seharusnya berusaha mengekalkan bentuk bahasa teks asal sehingga menghasilkan terjemahan yang berbelit-belit dan sukar difahami.
Maka kesimpulannya, berpandukan kepada prinsip-prinsip ini, seorang penterjemah diharapkan dapat menghasilkan satu karya yang boleh dipercayai sebagai satu karya terjemahan, dan karya ini adalah sebuah karya yang boleh difahami serta selesa untuk dibaca.


Mazhab terjemahan
Terdapat dua mazhab terjemahan iaitu mazhab terjemahan linguistik dan mazhab terjemahan prgamatik.[2]
Terjemahan linguistik
Mazhab terjemahan linguistik mementingkan terjemahan semantik perkataan, istilah, frasa dan ayat. Ia menjadi mazhab penterjemahan utama di Malaysia.[2] Keburukan mazhab ini adalah penterjemah akan menterjemah setiap patah perkataan buku-buku tanpa memikirkan maksudnya asalkan ia diterjemahkan. Ini menghilangkan tujuan asal sesuatu terjemahan itu dilakukan iaitu supaya pembaca faham.
[sunting]Terjemahan prgamatik
Mazhab terjemahan prgamatik pula membenarkan penterjemah untuk membuang mana-mana bahagian yang dianggap tidak berguna dibaca, Mereka boleh menokok di sana sini dengan input-input tempatan apabila dirasakan perlu.[2] Ia banyak diamalkan di Jepun, Korea, Thailand dan Indonesia. Mazhab ini memberi dua kelebihan. Pertama, penjimatan kos kewangan kerana terjemahan tidak dibayar berdasarkan jumlah perkataan yang diterjemah. Kedua, isi terjemahan pragmatik lebih bermutu kerana ia mengambil kira bahan-bahan yang relevan dengan keperluan setempat. Ia secara langsung mendukung proses meribumian ilmu, khususnya ilmu-ilmu sains yang diterokai oleh ahli sains asing.
[sunting]Penilaian hasil terjemahan
Secara umumnya, penilaian hasil terjemahan boleh dilakukan dari dua segi, yakni penilaian pragmatik dan penilaian semantik.
[sunting]Pragmatik
Dalam penilaian pragmatik, nilai teks terjemahan ditentukan berdasarkan kesannya terhadap pengguna/pembaca. Dalam penilaian ini ketepatan makna tidak begitu dipentingkan. Penilaian ini adalah sesuai untuk terjemhan bahan-bahan yang "ringan" seperti iklan. Terjemahan iklan lebih mementingkan kesan promosi berbanding ketepatan makna teks asal. Walaupun demikian, penilaian ini tidak sesuai untuk terjemahan dalam bidang undang-undang dan juga bidang ilmiah.
[sunting]Semantik
Bagi penilaian semantik, biasanya ia diterapkan ke dalam hasil terjemahan yang berat, seperti dokumen undang-undang, teks agama dan buku-buku ilmiah. Dalam keadaan ini, sesuatu teks terjemahan dituntut supaya mempunyai makna yang betul-betul sama dengan teks sumber. Maka untuk menilai teks terjemahan, ia boleh dilakukan dengan melihat sejauh manakah kesilapan tidak dilakukan. Kesilapan yang dimaksudkan ialah:
1.    Penerbalikan makna
2.    Peninggalan makna
3.    Penambahan makna (melainkan jika mengikut spesifikasinya)
4.    Percanggahan makna
5.    Pengubahsuaian makna
Kesilapan-kesilapan ini disusun mengikut tahap kesalahan yang teruk sehingga kurang teruk. Maka penilaian boleh dibuat dengan kriteria tersebut.


[sunting]Proses terjemahan
Secara umumnya, terjemahan bermaksud untuk menerjemahkan makna teks sumber dan bukannya menerjemahkan bentuk bahasa teks sumber ke dalam bahasa sasaran. Maka penterjemahan seharusnya fokus kepada makna. Daripada itu, penterjemahan dimulakan dengan pentafsiran makna dan diakhiri dengan pengalihan makna itu ke dalam bahasa sasaran. Secara terperinci lagi, proses penerjemahan akan melalui peringkat seperti berikut:
[sunting]Menterjemahkan kata
Kata-kata teks sumber harus ditafsir menurut konteks ayat. Ini adalah kata-kata dalam sesuatu bahasa mungkin mempunyai lebih daripada satu makna(polisemi). Selepas sudah mengenal pasti makna kata-kata teks sumber, maka penterjemah harus mencari kata bahasa sasaran yang sepadan dengan makna kata itu. Kata yang dicarikan itu seharusnya mempunyai makna yang terdekat dengan istilah yang diterjemahkan.
Satu masalah umum yang sentiasa dihadapai oleh penterjemah ialah tiada kata-kata bahasa sasaran yang sepadan dengan bahasa sumber. Keadaan ini akan timbul apabila sesuatu konsep itu tidak pernah ada dalam budaya bahasa sasaran. Maka, masalah ini harus diselesaikan melalu cara di bawah:
·         Memadankan perkataan bahasa sumber dengan serangkai kata bahasa sasaran.
·         Memadankan perkataan bahasa sumber dengan perkataan ciptaan penterjemah.
·         Mengambil terus perkataan bahasa sumber ke dalam teks terjemahan dengan mengubahsuai sebutan/ejaannya menurut ciri-ciri fonologi bahasa sasaran.
[sunting]Menterjemahkan ungkapan
Dalam menafsir makna teks sumber, penterjemah juga harus mentafsir makna pada peringkat ungkapan, yakni peringkat frasa. Ini bermaksud penterjemah akan menerjemah satu frasa demi satu frasa. Ini adalah kerana ungkapan ini mungkin akan membawa maksud kiasan dan dengan itu kita tidak boleh menafsir makna ungkapan berkenaan berdasarkan makna kata-kata yang membentuknya. Contohnya, ungkapan "panjang tangan" tidak boleh diterjemahkan sebegai "long handed", kerana dalam bahasa Melayu "panjang tangan" membawa makna kiasan "suka mencuri".
[sunting]Menterjemahkan ayat
Dalam menterjemahkan ayat, unsur makna dalam ayat teks asal boleh dipindahkan ke dalam sebuah ayat bahasa sasaran, ataupun ke dalam beberapa ayat bahasa sasaran. Ini bermaksud satu ayat daripada teks asal tidak semestinya dipadankan dengan satu ayat teks sasaran; tetapi boleh dipadankan dengan beberapa ayat teks sasaran.
Tindakan satu kepada banyak dalam penerjemahan adalah supaya ayat yang dihasilkan daripada penerjemahan tidak terlalu panjang dan bertele-tele sehingga menyusahkan pemahaman para pembaca. Dalam keadaan tertentu, ayat dalam teks asal mungkin terlalu panjang dan sekiranya diterjemahan terus ke dalam satu ayat akan menghasilkan kesan yang buruk.
Contohnya:
The content of school textbooks is often the issue of debate, as their target audience is young people, and the term "whitewashing" is the one commonly used to refer to selective removal of critical or damaging evidence or comment. (Bahasa Inggeris, satu ayat)
diterjemahkan sebagai:
Penapisan isi kandungan buku teks sekolah adalah satu isu pendebatan. Ini adalah kerana sasaran pembaca bagi buku teks ialah orang muda. Dalam pendebatan ini, perihal memindahkan dalil-dalil yang membahaya sentiasanya dikaitkan dengan konsep "penyucian".(Bahasa Melayu, 3 ayat)
[sunting]Menterjemahkan wacana
Pada tanggapan umum, penterjemah wacana adalah himpunan daripada tindakan menterjemah perkataan, menterjemah ungkapan dan juga menterjemah ayat. Bagi penterjemahan yang baik, wacana seharusnya dijadikan fokus utama dalam penterjemahan. Penterjemahan wacana boleh dikaitkan dengan konsep "tiruan".







KELAYAKAN MENTERJEMAH

Seringkali diperkatakan bahawa untuk menjadi seorang penterjemah, apa yang diperlukan hanyalah kebolehan untuk berkomunikasi dalam dua atau lebih bahasa. Setiap bidang dalam dunia ini mempunyai pakar-pakarnya sendiri. Sama bagi bidang penterjemahan ini, terdapat pakar-pakarnya yang juga telah menetapkan empat panduan utama untuk menjadi seorang penterjemah yang baik. Empat panduan tersebuat adalah seperti berikut:-

1.     Mengetahui dan memahami bahasa sumber

Bahasa sumber – bahasa asal yang hendak diterjemah ke bahasa yang kedua. Contohnya, dalam artikel bahasa Melayu yang diterjemah kepada bahasa Inggeris, maka oleh itu, bahasa sumbernya ialah bahasa Melayu.

Dengan mengetahui bahasa sumber, ia dapat membantu penterjemah membezakan maksud sebenar teks asal dan dengan itu, seseorang penterjemah itu dapat menterjemah maksudnya dengan lebih tepat.

2.     Mengetahui dan memahami bahasa penerima

Bahasa penerima – bahasa ke dalam mana teks asal itu akan diterjemah. Contohnya, dalam aritkel bahasa Melayu yang diterjemah kepada bahasa Inggeris, maka oleh itu, bahasa penerimanya ialah bahasa Inggeris.
Sama peranannya seperti bahasa sumber, pengetahuan tentang bahasa penerima dapat membantu dalam menterjemahkan sesuatu bahan dengan lebih tepat. Seseorang penterjemah itu harus menguasai bahasa penerima dan bahasa sumber sebaik-baiknya. Pendek kata, penguasaan kedua-dua bahasa membantu dalam proses penterjemahan dalam menjadikan sesuatu bahan dapat diterjemahkan dengan baik tanpa lari daripada maksudnya yang asal.

  1. Pengetahuan dalam bidang yang diterjemah

Penterjemah bukan sahaja harus memahami kedua-dua bahasa sumber dan bahasa penerima tetapi juga mengetahui secukupnya bidang yang hendak diterjemah. Ini adalah kerana bidang–bidang seperti perundangan, perubatan mengandungi terma–termanya yang khusus.

  1. Mengetahui teori dan amalan terjemahan

Penting bagi seorang penterjemah itu untuk mengetahui melengkapkan diri dengan pengetahuan dalam bidang penterjemahan terlebih dahulu. Pengetahuan yang dimaksudkan ialah segala konsep-konsep teori supaya cara penterjemahan yang betul dapat diaplikasikan.

                    
MASALAH PERIBADI DALAM TERJEMAHAN

Masalah-masalah peribadi yang dialami penterjemah seringkali berhubung rapat dengan subjek, bahasa penerima, ciri-ciri komunikasi dan kaedah terjemahan yang sepatutnya digunakan. Di antara masalah-masalahnya ialah:-

1.     Terlalu mengetahui bidang yang tertentu

Penterjemah yang terlalu faham akan sesuatu bidang dalam sesuatu bahasa akan mudah menganggap pembaca juga tahu apa yang diketahui mereka. Oleh kerana itu, penterjemah akan menterjemah sesuatu bahan itu pada suatu peringkat yang tidak dapat difahami pembaca. Disebabkan kefahaman yang tinggi akan sesuatu bidang itu, apa bentuk terjemahan sekalipun difahami mereka. Namun, perkara yang sama tidak semestinya berlaku kepada para pembaca.

2.     Menerima ‘translationese’ tanpa soal jawab

Penterjemahan bahan-bahan bacaan seringakali diterima tanpa soal jawab di mana mereka menganggap bahawa penyampaian bahasa bahan-bahan yang sudah diterjemah itulah satu-satunya bentuk penterjemahan daripada bahan asing. Hal ini biasanya akan menyebabkan pembaca mudah terjerat oleh ‘translationese’ dan mengabaikan penggunaan bentuk-bentuk yang lebih original dalam bahasanya sendiri.

3.     Tidak yakin pada bahasa sendiri

Ramai yang rasakan bahasa asing adalah lebih baik daripada bahasa kita sendiri. Oleh sebab itu, apabila mereka melakukan kerja-kerja penterjemahan, mereka meminjam terus perkataan bahasa asing ke dalam bahasa kita dan berasa yakin bentuk itu adalah betul.

4.     Keinginan untuk mengekalkan misteri sesuatu bahasa

Kebiasaannya ramai penterjemah berasa sekiranya terjemahan telah dibuat, maka terjemahan tersebut hendaklah jelas dan terang. Justeru, akan hilanglah misteri yang ada dalam teks asal.

5.     Kurang pengetahuan tentang terjemahan

Kebanyakan orang menyangka bahawa terjemahan sekadar menggantikan perkataan-perkataan dalam bahasa sumber kepada bahasa penerima. Sebaliknya, pakar terjemahan telah dapat membuktikan bahawa ayat sahaja tidak memadai tetapi harus diganti dengan perenggan malah kalau boleh seluruh wacana. Sekiranya ini gagal dilakukan kita akan terlupa tentang adanya unsur-unsur peralihan di antara ayat. Struktur seluruh karangan itu mestilah diperhatikan supaya semua unsur yang terkandung dapat dipadukan menjadi suatu kesatuan yang bermakna.




CIRI-CIRI TERJEMAHAN

Penterjemahan Pada Suatu Masa Dulu

Para penterjemah memberikan keutamaan pada bentuk maklumat dalam kerja-kerja penterjemahan. Ciri-ciri luaran seperti bentuk-bentuk stilistik yang istimewa pada teks sumber, termasuk unsur-unsur seperti rima, rentak, mainan perkataan, pengulangan bunyi atau bentuk-bentuk nahu dalam teks tersebut dikekalkan.

Impaknya, terjemahan yang dihasilkan oleh mereka mengandungi banyak unsur yang mudah disalahtafsirkan oleh pembaca serta cukup mengelirukan disamping mengandungi bentuk-bentuk bahasa yang "berat" baik disebabkan dengan adanya perkataan-perkataan yang tidak biasa digunakan dalam bahasa penerima ataupun oleh kehadiran bentuk-bentuk tatabahasa yang sukar dan asing.

Contoh-contoh terjemahan yang sudah lumrah ialah ujian di atas pokok kacang dan berbuka di atas tamar.

Contoh binaan yang asing dan janggal serta sukar ditafsirkan dalam bahasa melayu adalah seperti : (Adalah mungkin perkara itu telah tidak berlaku.)

Terdapat dua bahaya yang mungkin timbul dalam terjemahan yang mengutamakan bentuk-bentuk teks sumber. Pertama, pembaca mungkin tidak dapat memahami terjemahan tersebut. Kedua , pembaca mungkin salah faham. Berikut ialah contoh-contoh yang dipetik daripada terjemahan al-Quran:

Dan sesungguhnya aku hanyalah seorang pemberi peringatan yang menjelaskan.67:62 (Terjemahan oleh Dept. Agama R.I Pustaka Antara).

Petikan tersebut tidak dapat membuat pembaca faham apa yang dibaca. Manakala dalam contoh berikut pula pemahaman pembaca mungkin terseleweng sama sekali:

Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah diturunkan Allah, iaitu al-Kitab dan menjualnya dengan harga yang sedikit (murah) mereka itu sebenarnya tidak memakan (tidak menelan) ke dalam perutnya melainkan api. 2:174 (Terjemahan oleh Dept. Agama R.I Pustaka Antara)

Pada pemahaman pembaca biasa, petikan di atas melarang seseorang daripada meletakkan Al-Quran di tempat-tempat tersembunyi atau menjualkannya dengan harga murah.


Penterjemahan Pada Masa Sekarang

Para penterjemah lebih memberikan keutamaan pada reaksi pembaca terhadap terjemahan tersebut iaitu supaya reaksi mereka serupa dengan reaksi yang dialami oleh pembaca teks sumber.

Pada masa ini, terdapat kepelbagaian defenisi tentang penterjemahan dan ini disebabkan oleh beberapa faktor antaranya ialah banyaknya jenis bahan yang diterjemah, tujuan bahan-bahan itu diterjemah dan keperluan pembaca yang menjadi sasaran terjemahan-terjemahan itu dilakukan.

Tiga faktor terdapat pelbagai jenis terjemahan:

i. Jenis teks yang diterjemah

Surat-surat rasmi, surat undang-undang, bahan akademik, novel, puisi, bahan bacaan kanak-kanak, buku agama dan lain-lain

ii. Tujuan atau maklumat penulis asal dan penterjemah

Sama ada untuk mempengaruhi pembaca, mendapat simpati pembaca, mengubah sikap pembaca, melarang pembaca daripada berbuat sesuatu, mengajar dan lain-lain.

iii. Jenis pembaca terjemahan

Adakah terdiri daripada golongan pakar, berdasarkan pelajaran mereka sama ada tinggi, sederhana atau rendah serta bidang minat mereka, umur mereka, tempat asal mereka, loghat bahasa dan lain-lain.


PANDUAN MENTERJEMAH

Sebelum kerja-kerja terjemahan dilaksanakan, penterjemah hendaklah mengkaji jenis teks yang akan diterjemahkan, apakah maksud penulis asal dan kumpulan pembaca sasaran. Terdapat pelbagai bentuk kumpulan pembaca sasaran. Bagi para pembaca pakar, kita boleh menggunakan istilah-istilah teknikal ataupun ‘jargon’ kerana mereka memahami maksud perkataan tersebut. Namun, untuk golongan bukan pakar, iaitu orang-orang awam, penterjemah tidak boleh menggunakan istilah-istilah teknikal kerana ini akan menyebabkan pembaca sasaran tidak dapat memahami mesej yang terkandung di dalam teks tersebut.

Begitu juga bagi pembaca yang berpelajaran, kita boleh menggunakan bahasa yang sukar dan ayat-ayat yang panjang, tetapi untuk pembaca yang hanya mempunyai pelajaran rendah penterjemah mestilah menggunakan ayat yang pendek dan bahasa yang mudah difahami.

Terdapat beberapa sebab bagaimana idea yang kita anggap mudah dan senang untuk dimengerti dalam sesuatu bahasa menjadi sukar difahami oleh pembaca dalam bahasa lain. Misalnya, teks Inggeris dengan mudah dapat difahami oleh orang Inggeris, tetapi apabila sudah diterjemah ke dalam bahasa Melayu, orang Melayu yang membacanya mungkin tidak faham.

Faktor-faktor berlakunya kekeliruan dan cara-cara mengatasinya

  1. Faktor utama ialah adanya maklumat kebudayaan yang terkandung secara tersirat dalam teks itu. Pembaca teks asal tahu tentang latar belakang kebudayaan teks itu, sedikit sebanyak tentang penulis tersebut, keadaan yang menyebabkan teks tersebut ditulis, dan barangkali pembaca itu ialah anggota dalam masyarakat dan kelompok kebudayaan yang sama dengan penulis. Namun demikian, semua latar belakang itu belum tentu dimilki oleh pembaca terjemahan. Jadi dia tidak tahu akan perkara yang menyebabkan pembaca teks terjemahan tidak dapat memahami teks yang telah diterjemah itu. Dalam hal ini, maklumat yang tersirat hendaklah dijelaskan oleh pembaca teks asal supaya jelas untuk dibaca oleh pembaca teks terjemahan.

  1. Terjemahan yang harafiah tidak menjelaskan maklumat yang tersirat pada teks asal. Oleh itu pembaca tidak dapat memahami teks terjemahan tersebut. Terjemahan yang harafiah cuma menterjemah teks asal supaya jumlah perkataannya sama banyak. Dalam terjemahan dinamis, yang perlu serupa bukanlah jumlah perkataan, tetapi jumlah idea iaitu jumlah maklumatnya perlu sama iaitu tidak ada maklumat yang tertinggal atau ditokok-tambah dalam terjemahan tersebut.

  1. Faktor lain yang boleh menghasilkan pelbagai jenis terjemahan ialah tujuan penterjemah melakukan terjemahan tersebut. Seharusnya penterjemah mempunyai tujuan yang sama atau sekurang-kurangnya secocok dengan tujuan penulis teks asal. Tetapi hal ini tidak semestinya berlaku. Perbezaan tujuan menyebabkan penterjemah memilih cara-cara yang tertentu pula untuk menyampaikan idea pada teks asal.

Tujuan-tujuan penterjemahan

  1. Tujuan utama penterjemah adalah untuk memberikan maklumat berkenaan dengan idea dalam teks asal serta bentuk teks asal tersebut. Terjemahan yang mengutamakan maklumat sudah tentu akan mengetepikan reaksi perasaan pembacanya. Terjemahan seperti ini mengutamakan kefahaman pembaca lebih daripada yang lain. Sebagai contoh, penterjemahan laporan ekonomi atau laporan kajian saintifik.

  1. Adakalanya penterjemah mempunyai tujuan yang bukan hanya untuk memberikan informasi; misalnya dia mahu pembaca melakukan sesuatu setelah membaca terjemahan tersebut. Dalam hal seperti ini penterjemah akan berusaha untuk menghasilkan pemahaman yang sempurna dan oleh yang demikian, penterjemah akan melakukan penyesuaian semula dengan terperinci supaya pembaca faham akan idea yang terkandung di dalamnya. Contoh terjemahan seperti ini ialah terjemahan keterangan pada luar botol ubat, alat elektrik dan barangan lain-lain yang mungkin berbahaya.

  1. Sekiranya teks yang diterjemah mengandungi tujuan imperatif, penterjemah harus melakukan lebih banyak penyesuaian semula. Tujuan imperatif adalah dengan menegah, menghalang atau memerintah sesuatu perbuatan tertentu. Di sini, penterjemah bukan setakat menyarankan sesuatu reaksi tertentu kepada pembaca, tetapi berusaha supaya mendesak atau memaksa pembaca bertindak terhadap reaksi tersebut. Penterjemah bukan setakat mahu pembaca memahami maksudnya, tetapi dia akan menterjemah dengan menggunakan cara-cara tertentu sehingga tidak mungkin pembaca akan terkeliru. Contoh terjemahan seperti ini ialah surat amaran, tindakan saman mahkamah, surat ugutan, surat arahan disiplin dan sebagainya. Salah satu cara cara untuk untuk mendapatkan terjemahan yang baik adalah dengan menyoal pembaca sasaran tentang sejauh mana fahaman mereka tentang teks terjemahan tersebut.


Ciri-ciri Terjemahan Yang Baik

  1. Penterjemah harus memahami konteks teks asal sebelum menterjemah bahan tersebut agar para pembaca sasaran tidak tersalah tafsir ataupun keliru ketika membacanya.

Contoh: ‘The Malaysian shooters put the nightmare of their equipment delay behind them...’ The Star 10/12/2003
Perkataan “nightmare” di sini bukanlah bermaksud mimpi buruk yang biasa dialami oleh manusia tetapi lebih kepada kejadian buruk yang menimpa kepada pasukan menembak Malaysia tentang kelewatan peralatan mereka menjelang perlawanan di Sukan Sea 2003 di Vietnam.

  1. Penterjemah seharusnya menggunakan tatabahasa yang mudah difahami dan bukannya yang berbelit-belit. Ini kerana sekiranya para pembaca sasaran tidak dapat memahami sesuatu terjemahan itu maka terjemahan tersebut dianggap tidak diiktiraf.

  1. Perbezaan antara bahasa sumber dan bahasa penerima merupakan salah satu cabaran kepada penterjemah. Setiap bahasa mempunyai keistimewaan dan tumpuan perbendaharaan katanya sendiri. Contohnya ialah cara-cara bahasa itu membentuk jenis-jenis perkataan, menstruktur frasa dan klausa, teknik menyambungkan perkataan-perkataan menjadi ayat, menyambung ayat-ayat kecil menjadi ayat kompleks, teknik menggunakan tanda baca dalam wacana, simpulan bahasa, peribahasa yang digunakan dan lain-lain lagi. Oleh itu, penterjemah harus mengubah bentuk formal maklumatnya mengikut peraturan formal bahasa penerima. Ini bertujuan penterjemah dapat menggunakan bahasa penerima dengan kreatif dan menghormati ciri-ciri bahasa penerima. Perubahan-perubahan yang dilakukan berdasarkan kepada perbezaan linguistik dan kebudayaan antara kedua-dua bahasa iaitu bahasa sumber dan bahasa penerima.

Tokoh-Tokoh Dalam Bidang Terjemahan

Terdapat beberapa tokoh di dalam bidang penterjemahan. Tokoh-tokoh dalam bidang terjemahan ini telah menghasilkan teori-teori dan prinsip-prinsip yang boleh dijadikan panduan bagi para penterjemah.

  1. ETIENE DOLET (1509-1546)

Individu yang mula-mula mengemukakan teori terjemahan ialahn Etiene Dolet (1509-1546). Beliau telah menerbitkan prinsip-prinsipnya pada tahun 1540. Prinsip-prinsip itu ialah:-

                     i.            Penterjemah hendaklah benar-benar memahami isi dan hasrat penulis teks sumber.
               ii.            Penterjemah mestilah menguasai dengan baik bahasa sumber dan bahasa penerima terjemahan itu.
                           iii.            Penterjemah tidak boleh menterjemah perkataan demi perkataan oleh sebab perbuatan itu akan merosakkan makna asal dan membinasakan keindahan teks sumber.
                 iv.            Penterjemah hendaklah menggunakan bentuk-bentuk bahasa yang biasa digunakan dalam bahasa penerima.
                    v.            Penterjemah mestilah mencipta semula kesan keseluruhan teks sumber yang betul melalui pemilihan dan susunan perkataan yang dibuatnya.


Dolet telah menyatakan bahawa penterjemah hendaklah mengetahui semangat dan tujuan pengarang asal. Beliau juga tidak membezakan darjah penguasaan penterjemah dalam bahasa sumber dan bahasa penerima. Kesimpulannya penterjemah hendaklah menguasai kedua-dua bahasa tersebut dengan baik. Dolet juga menyarankan supaya penterjemah mengelakkan daripada menterjemah secara literalisme iaitu perkataan demi perkataan. Prinsip ini bersesuaian untuk terjemahan bacaan umum. Etiene Dolet juga menekankan betapa pentingnya unsur stilistik untuk kerja-kerja terjemahan yang serius tanpa mengira jenis media dan isi teks.

  1. DRYDEN (1680)

Prinsip Dryden wujud pada tahun 1680 selepas menentang pendapat Abraham Cowley (1656) dan menamakan terjemahan Cowley sebagai ‘tiruan’. Dryden telah mengemukakan tiga jenis terjemahan:-

  1. Metafrasa
Penterjemahan perkataan demi perkataan dan baris demi baris.

  1. Parafrasa
Terjemahan yang mengikuti karya asal dengan rapat, tetapi yang diikuti ialah maknanya bukan perkataannya.

  1. Tiruan
Penterjemah mengambil sikap bebas, bukan setakat mengubah perkataan dan ayat, tetapi kedua-duanya sekali bila dirasakan hal itu perlu demi kepentingan semangat teks tersebut.

  1. GEORGE CAMPBELL (1759)

Pada tahun 1789, George Cambell telah menulis sebuah buku yang menerangkan sejarah dan teori terjemahan. Secara ringkas beliau telah mengemukakan tiga prinsip dalam kaedah penterjemahan:

    1. Penterjemah hendaklah mengekalkan makna yang terkandung dalam teks asal dan mengekalkan unsur-unsur seperti perkataan, struktur ayat dan stail kepengarangan penulis asal

    1. Penterjemah juga mesti mengekalkan sifat-sifat teks asal tetapi dengan cara penterjemah menggunakan ciri-ciri dan keistimewaan yang ada pada bahasa penerima

    1. Penterjemah hendaklah memastikan supaya penterjemahan itu terasa seolah-olah sebuah karya asli, mudah dibaca, senang difahami serta gaya bahasa yang bersahaja.

  1. ALEXENDER FRASER TYTLER

Pada tahun berikutnya, 1790, Alexender Fraser Tytler, melalui bukunya berjudul "The Principle of Translation", Tytler mengemukakan tiga prinsip terjemahan:
    1. Sesuatu terjemahan itu hendaklah mengekalkan semua makna yang terkandung dalam teks asal.

    1. Stail dan gaya bahasa terjemahan mestilah sama sifatnya dengan stail dan gaya teks asal.

    1. Kesan terjemahan itu mesti dirasakan seolah-olah sebuah karya asli. Selain itu Tytler telah memperkenalkan teknik-teknik yang moden yang dapat digunakan hingga ke hari ini.

Beberapa teknik yang dikemukakan oleh Tytler bersifat sangat moden dan dapat dipraktikkan pemakainnya. Menurut beliau, penterjemah boleh membuat tambahan sekiranya hal itu penting bagi mengekalkan makna asal, ataupun mampu menjelaskan lagi hal tersebut.

Perkataan juga boleh dikurangkan apabila perkataan itu tiada fungsi penting serta tidak mencacatkan makna asal teks malahan membuatkan makna asal lebih jelas. Apabila makna teks asal itu kabur, penterjemah wajar membuat keputusan sendiri dan memilih makna yang paling secocok dengan konteks.

  1. EUGENE A.NIDA

Nida merupakan tokoh yang paling berpengaruh dalam bidang teori dan amali terjemahan dinamis yang dikemukan oleh Nida. Dia telah mengutamakan 6 aspek penting dalam terjemahan.

Definisi yang dikemukannya perterjemahan ialah penyalinan semula ke dalam bahasa penerima maklumat daripada bahasa sumber dalam bentuk persamaan yang terdekat dan sejadi, pertama dari segi makna dan kedua dari segi stailnya.

Aspek-aspek tersebut ialah:

i. Penyalinan semula maklumat
  • Nida menegaskan tugas terpenting perterjemah ialah menyalin semula maklumat ke dalam bahasa penerima.
  • Untuk memenuhi tugas penyalinan semula maklumat, banyak penyesuaian tatabahasa dan perkataan mesti dilakukan.
  • Justeru, implikasi prinsip ini ialah mengekalkan makna apabila terpaksa gaya penulis asalnya boleh diubah.
Contoh : Keep clear – simpan kosong – kosongkan
Scared stiff – takut kaku – sgt takut

ii. Persamaan bukan keserupaan

Semasa menterjemah, penterjemah diingatkan supaya mencari bentuk–bentuk yang sama kerana tugas perterjemahan ialah menyalin maklumat bukan menyalin bentuk bagaimana maklumat diungkap. Contohnya : ungkapan “empat kepala kambing” dalam bahasa Arab – diterjemah menjadi “empat ekor kambing” dalam bahasa Melayu dengan itu barulah kedua-dua ungkapan itu menjadi seerti.

  1. Persamaan yang bersahaja
  • Menurut Nida, dari segi bahasa, terjemahan yang baik ialah terjemahan yang langsung tidak berbau terjemahan.
  • Ini bererti penterjemahan hendaklah menggunakan cir-ciri asli yang dimiliki oleh bahasa penerima.

  1. Persamaan terdekat
    • Tidak ada dua perkataan yang betul-betul serupa maknanya di antara bahasa yang berlainan.
    • Penterjemah hanya boleh menterjemah dengan menggunakan persamaan yang paling dekat maknanya.

Contohnya : Ungkapan “dirasuk hantu” mungkin dirasakan betul apabila diterjemah menjadi 'mentally distressed'.

Namun begitu “mentally distressed” bukanlah persamaan terdekat untuk “dirasuk hantu” oleh sebab “mentally distressed” ialah satu tafsiran kebudayaan yang tidak mengambil kira ciri-ciri kebudayaan berbagai- bagai jenis semangat hantu.

v. Keutamaan makna
  • Terjemahan mengutamakan isi atau maklumat yang terkandung dalam teks asal.
  • Justeru perterjemah wajib membuat perubahan yang radikal supaya maklumat asal kekal dalam bahasa penerima.
Contoh : “He has a family” tak sepatutnya diterjemah menjadi “Dia mempunyai keluarga”, tetapi diterjemah “dia sudah berumahtangga”.

vi. Kepentingan gaya
  • Walaupun makna lebih utama daripada gaya namun aspek stail yang mempunyai aspek tersendiri
  • Penterjemah perlu memastikan gaya yang diterap dalam penterjemahnya dapat membangkitkan reaksi yang serupa sekiranya membaca karya asal.

Enam aspek penterjemahan yang dikemukakan oleh Nida menghasilkan empat pedoman untuk memandu para penterjemah memilih apa yang wajar dalam situasi-situasi tertentu. Pedoman-pedoman tersebut ialah :

    1. Keselarasan konteks lebih diutamakan daripada keselarasan cara sesuatu maklumat itu dikemukan, atau keselarasan perkataan demi perkataan.

    1. Persamaan dinamis hendaklah lebih diutamakan daripada keselarasan formal.

    1. Bentuk - bentuk bahasa yang didengar hendaklah lebih diutamakan daripada bentuk-bentuk yang ditulis.

    1. Keperluan pembaca sasaran hendaklah lebih diutamakan daripada bentuk-bentuk bahasa.

Tugas seseorang penterjemah karya sastera dipenuhi dengan pelbagai cabaran dan kekecewaan kerana sebenarnya tugas itu tugas yang hampir mustahil. Ini kerana tidak ada terjemahan yang menyerupai karya asal.

Faktor-faktor yang paling utama ialah kenyataan bahawa tidak ada dua bahasa di dunia ini yang sama bentuknya, iaitu sama jumlah perbendaharaan katanya, dan sama peraturan nahunya.

Unsur-unsur bahasa yang sering kali berbeza antara satu bahasa dengan bahasa lain ialah:

i. Unit-unit nahu

Contohnya dalam bahasa Inggeris ada tiga ganti nama iaitu “he”, “she” dan “it”. Ia tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya. Sebaliknya dalam bahasa Melayu hanya ada dua ganti nama dalam jenis tersebut iaitu “dia” dan “ia”. Penggunaannya tidak serupa dengan peraturan dalam Bahasa Inggeris.

ii. Penggunaan perkataan

Contohnya perkataan “you” dalam bahasa Inggeris boleh digunakan kepada sesiapa sahaja.. Tetapi dalam bahasa Melayu kita tidak boleh menggunakan “awak” dengan bebas. “Awak” hanya boleh digunakan kepada orang sedarjat atau lebih rendah.

iii. Persamaan bidang makna perkataan

Contohnya perkataan durian, keris, songkok dan lain-lain tidak terdapat dalam bahasa Inggeris. Ada pula perkataan yang hampir-hampir sama maknanya seperti 'tajak' dalam bahasa Melayu dengan “hoe” dalam bahasa Inggeris. Tajak dengan “hoe” tidak sama bentuknya tetapi mempunyai fungsi yang serupa.

iv. Rima dan rentak

Unsur rima dan rentak dalam sesuatu bahasa tidak sama antara satu sama lain, itulah sebabnya sukar untuk menterjemah karya seperti pantun yang sangat bergantung pada rima dan rentak ke dalam bahasa lain.

v. Permainan perkataan

Sesuatu perkataan yang digunakan itu disusun dan diulang secara yang istimewa dan unik. Ciri-ciri unik ini biasanya tidak dapat dipindahkan ke dalam bahasa lain.

vi. Penggunaan struktur nahu yang menyimpang daripada kebiasaan

Faktor kedua yang menyebabkan penterjemah terpaksa melakukan perubahan ialah kelainan kebudayaan karya asal dengan kebudayaan bahasa penerima. Semakin luas perbezaan antara kedua-duanya, semakin banyak perubahan yang terpaksa dibuat.





Terapi diri, tenang hati..senyum hari2..





5 comments:

  1. artikel yang baik. mohon digunakan sebagai rujukan untuk penulisan saya ya

    ReplyDelete
  2. artikel yang baik. mohon digunakan sebagai rujukan untuk penulisan saya ya

    ReplyDelete
  3. artikel yang baik..mohon digunakan untuk kuliah ye

    ReplyDelete
  4. Terima kasih atas perkongsian. Mohon digunakan dalam kuliah untuk dibentangkan di hadapan kelas.

    ReplyDelete
  5. Artikel yang sangat membantu, izinkan saya menggunakan segala info yang du=iberi untuk rujukan kuliah dan kerja kursus Sarjana Muda Sastera. Jutaan terima kasih saya ucapkan pada Puan.

    ReplyDelete