Nama Allah : Hukum Asal,
Oleh
Zaharuddin Abd Rahman
Perdebatan dan perbahasan terbuka di media-media massa berkenaan isu
penggunaan nama Allah oleh Kristian kelihatan sudah agak reda ditenggelami oleh
isu-isu politik yang sentiasa kelihatan hangat. Maka di kesempatan
ini, saya terpanggil untuk cuba membuat sedikit ulasan dan huraian kesimpulan
bagi menjelaskan letak duduk isu ini, khususnya di sebalik kepelbagaian
pandangan khususnya di kalangan ilmuan Islam. Lebih khusus lagi, setelah saya
memberi pengisian berkaitan tajuk ini secara online semalam.
Boleh download ceramah tersebut di link ini . (sebahagian penerangan tidak
dapat dinyatakan dalam tulisan ini bagi mengelakkan terlalu panjang)
Bagi mereka yang berminat untuk terus membaca, saya nasihatkan agar tuan
dan puan dapat membaca dengan bertenang, jangan tergesa-gesa dan jangan
melompat serta cepat memebuat konklusi sebelum tamat membaca. Jika tidak, salah
faham akan berlaku. Jika tuan dan puan merasakan malas untuk membaca dengan
teliti dan sehigga habis, saya menasihatkan agar tidak membacanya atau
menangguh bacaan di waktu yang lapang dan tenang. Atau mungkin lebih ringan
untuk mendengarkan kuliah terlebih dahulu.
AKIBAT BERBEZA PERSPEKTIF, HASIL BERBEZA
Setelah menyemak dan membaca artikel demi artikel dan huraian oleh
pelbagai pihak dalam isu ini, jelas bagi saya bahawa perbezaan ini datang
disebabkan target dan objektif setiap tulisan kelihatan cenderung kepada salah
satu antara tiga perspektif berikut iaitu :-
· 1) Terdapat artikel dan ilmuan yang mengulas dari
sudut hukum berdasarkan nas dan teks, tanpa dicampur aduk dengan perspektif
lain.
· 2) Terdapat artikel yang kandungan isinya jelas
berat kepada persoalan dakwah iaitu menjawab alasan Kristian dan mematikan
hujah mereka, ia bukan memberi pandangan atas analisa teks Al-Quran.
· 3) Terdapat artikel yang diulas berat kepada isu
kuasa kerajaan dan siyasah syar'iyyah.
· 4) Terdapat yang mengulas bagi meraih sokongan
politik dan pengaruh. Bagi menunjukkan ‘kerterbukaan' bagi meraih sokongan
bukan Islam, atau menunjuk kehandalan dalam mempertahankan Islam bagi mendapat
sokongan orang Islam.
Justeru, saya berharap artikel ini mampu membantu pembaca menyusun idea
dan kefahaman agar mampu menetapkan pendirian dengan lebih jitu dan tepat.
Mampu memahami kepelbagaian dengan lebih saksama.
1. NAMA ALLAH DARI PERSPEKTIF TEKS
AL-QURAN DAN HUKUM ASAL
Melihat dari perspektif ini, perbincangannya berkisar tentang
soalan
"Adakah dibenarkan dari aspek hukum ‘Aqidah, untuk Kristian
menggunakan nama Allah dalam urusan mereka?"
Dalam hal kefahaman hukum dari teks dan nas ini, ia tergolong dalam
kategori hukum zhonni. Hasilnya, ilmuan berbeza pendapat dalam
menentukan hukum yang paling tepat. Namun begitu, menurut penelitian saya, dari
PERSPEKTIF HUKUM AQIDAH yang berdasarkan kepada teks, hukum yang lebih kukuh
adalah HARUS ATAU DIBENARKAN bagi Kristian atau lain-lain penganut agama lain
untuk menggunakan nama ALLAH bagi merujuk kepada Tuhan.
Ulama yang mengharuskan bersandar kepada dalil dan teks berikut,
antaranya ( Lihat kepada teks yang diwarnakan) :-
· a. Firman Allah di dalam Surah az Zumar ayat 3
أَلَا لِلَّهِ الدِّينُ الْخَالِصُ وَالَّذِينَ اتَّخَذُوا مِن دُونِهِ
أَوْلِيَاء مَا نَعْبُدُهُمْ إِلَّا لِيُقَرِّبُونَا إِلَى اللَّهِ زُلْفَى إِنَّ
اللَّهَ يَحْكُمُ بَيْنَهُمْ فِي مَا هُمْ فِيهِ يَخْتَلِفُونَ إِنَّ اللَّهَ لَا
يَهْدِي مَنْ هُوَ كَاذِبٌ كَفَّارٌ
Ertinya : Ingatlah, hanya kepunyaan Allah-lah agama yang bersih
(dari syirik). Dan orang-orang yang mengambil pelindung selain Allah (berkata):
"Kami tidak menyembah mereka melainkan supaya mereka mendekatkan kami
kepada Allah dengan sedekat-dekatnya". Sesungguhnya Allah akan
memutuskan di antara mereka tentang apa yang mereka berselisih padanya.
Sesungguhnya Allah tidak menunjuki orang-orang yang pendusta dan sangat
ingkar.
Ini jelas menunjukkan mereka menyembah berhala kerana ingin dekat kepada
Allah. Justeru mereka sedar Allah itu Tuhan. Dan nama Allah itu telah
digunapakai oleh mereka sejak dari dulu. Ayat ini menunjukkan situasi di waktu
itu dan juga membawa implikasi hukum keharusan kerana Allah tidak membantah
kafir memanggilnya sebagai Allah. Walaubagaimanapun, di dalam ayat ini dan
ayat-ayat yang lain, Allah SWT membantah tindakan mereka menyekutukanNya.
Sekiranya penggunaan itu salah, pastinya Allah akan menafikan perkataan kafir
tadi dan mengelakkan dirinya dikait dengan keyakinan sesat kafir musyrik.
· b. Firman Allah Surah Yunus ayat 18 :
وَيَعْبُدُونَ مِن دُونِ اللّهِ مَا لاَ يَضُرُّهُمْ وَلاَ يَنفَعُهُمْ
وَيَقُولُونَ هَـؤُلاء شُفَعَاؤُنَا عِندَ اللّهِ قُلْ أَتُنَبِّئُونَ اللّهَ
بِمَا لاَ يَعْلَمُ فِي
السَّمَاوَاتِ وَلاَ فِي الأَرْضِ سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى عَمَّا
يُشْرِكُونَ
Ertinya : Dan mereka menyembah selain daripada Allah apa yang tidak
dapat mendatangkan kemudaratan kepada mereka dan tidak (pula) kemanfaatan, dan
mereka berkata: ""Mereka itu adalah pemberi syafaat kepada kami di
sisi Allah"". Katakanlah: ""Apakah kamu mengabarkan
kepada Allah apa yang tidak diketahui-Nya baik di langit dan tidak (pula) di
bumi?"" Maha Suci Allah dan Maha Tinggi dari apa yang mereka
mempersekutukan (itu)
Selagi lagi ayat ini menunjukkan kesalahan kafir musyrik adalah kerana
menyengutukan Allah dengan mengambil berhala sebagai perantara dan bukan pada
memanggil Tuhan sebagai Allah.
· c. Firman Allah surah al-Ankabut ayat 63 :
وَلَئِن سَأَلْتَهُم مَّن نَّزَّلَ مِنَ السَّمَاء مَاء فَأَحْيَا بِهِ
الْأَرْضَ مِن بَعْدِ مَوْتِهَا لَيَقُولُنَّ اللَّهُ قُلِ الْحَمْدُ لِلَّهِ بَلْ
أَكْثَرُهُمْ لَا يَعْقِلُونَ
Ertinya : Dan sesungguhnya jika kamu menanyakan kepada mereka:
""Siapakah yang menurunkan air dari langit lalu menghidupkan dengan
air itu bumi sesudah matinya?"" Tentu mereka akan menjawab: ""Allah"". Katakanlah:
""Segala puji bagi Allah"", tetapi kebanyakan mereka tidak
memahami (nya)
Imam Fakhruddin Ar-Razi berkata ketika mengulas ayat dari surah Yunus
dan Ankabut ini :
هذا يدل على أن المخاطبين بهذا الكلام كانوا يعرفون الله ويقرون به
Ertinya : Ini menunjukkan mereka yang ditujukan pertanyaan
dan kata-kata ini ( iaitu puak kafir musryik), mereka telah pun sentiasa mengetahui
tentang Allah dan sentiasa mengiktirafNya (sebagai tuhan). (Rujuk Tafsir
Al-Kabir, 17/86)
· d. Firman Allah surah Al-An'am ayat 136 :
وَجَعَلُواْ لِلّهِ مِمِّا ذَرَأَ مِنَ الْحَرْثِ وَالأَنْعَامِ نَصِيبًا
فَقَالُواْ هَـذَا لِلّهِ بِزَعْمِهِمْ وَهَـذَا لِشُرَكَآئِنَا فَمَا كَانَ
لِشُرَكَآئِهِمْ فَلاَ يَصِلُ إِلَى اللّهِ وَمَا كَانَ لِلّهِ فَهُوَ يَصِلُ
إِلَى شُرَكَآئِهِمْ سَاء مَا يَحْكُمُونَ
Ertinya : Dan mereka memperuntukkan bagi Allah satu bahagian dari
tanaman dan ternak yang telah diciptakan Allah, lalu mereka berkata sesuai
dengan persangkaan mereka: ""Ini untuk Allah dan ini untuk
berhala-berhala kami"". Maka saji-sajian yang diperuntukkan bagi
berhala-berhala mereka tidak sampai kepada Allah; dan saji-sajian yang
diperuntukkan bagi Allah, maka sajian itu sampai kepada berhala-berhala mereka.
Amat buruklah ketetapan mereka itu.
Sahabat besar nabi, Imam Ibn ‘Abbas r.a ketika mengulas ayat ini berkata
:
من إيمانهم إذا قيل لهم من خلق السماء ؟ ومن خلق الأرض ؟ ومن خلق الجبال ؟
قالوا : الله , وهم مشركون
"Dari keyakinan dan iman
puak-puak kafir ini apabila ditanya siapa yang menciptakan langit?, dan siapa
yang menciptakan bumi?, dan siapa yang menciptakan gunung?. Mereka telah
menjawab : ALLAH, namun begitu mereka mensyirikkanNya.
· e. Firman Allah surah Zukhruf ayat 87-88
وَلَئِن سَأَلْتَهُم مَّنْ خَلَقَهُمْ لَيَقُولُنَّ اللَّهُ فَأَنَّى
وَقِيلِهِ يَارَبِّ إِنَّ هَؤُلَاء قَوْمٌ
لَّا يُؤْمِنُونَ يُؤْفَكُونَ
Ertinya : Dan sungguh jika kamu bertanya kepada mereka:
""Siapakah yang menciptakan mereka, niscaya mereka menjawab:
""Allah"", maka bagaimanakah mereka dapat
dipalingkan (dari menyembah Allah)?
· f. Firman Allah surah Al-Isra ayat 42 :-
قُل لَّوْ كَانَ مَعَهُ آلِهَةٌ كَمَا يَقُولُونَ إِذًا لاَّبْتَغَوْاْ
إِلَى ذِي الْعَرْشِ سَبِيلاً
Ertinya : Katakanlah: ""Jika ada tuhan-tuhan di katakan,
nescaya tuhan-tuhan itu mencari jalan kepada Tuhan yang mempunyai Arasy ( Tuhan
yang sebenar)"
Imam Ibn Kathir ketika mengulas tentang kesalahan kafir musyrik dalam
surah Al-Isra' ini berkata ia adalah kerana mereka mensyirikkan Allah dengan
berhala-berhala mereka. Padahal mereka telah mengakui Allah sebagai
Tuhan, itu tidak dicela, apa yang dicela adalah tindakan mereka mensyirikkan
Allah dengan berhala mereka. Beliau berkata:
"Ayat ini boleh difahami iaitu arahan Allah kepada Nabi Muhammad
untuk bertanya kepada kepada kafir musyrikin yang menyangka ada bagi Allah
sekutu-sekutu dari kalangan makhluk yang sehingga dijadikan barang sembahan
selain Allah, kononnya sebagai perantaraan mendekatkan diri kepada Allah. (
Tafsir al-Quran Al-Azim)
Jelas dari dalil-dalil ini menunjukkan nama Allah sebagai TUHAN TIDAK
EKSKLUSIF kepada orang Islam sahaja, cuma orang Islam adalah eksklusif pada
pandangan Allah kerana menggunakannya dengan betul dan tepat.
Dakwaan Dr Khalif Muammar[1] yang
mengatakan pengunaan nama Allah yang wujud dalam ayat-ayat di atas semuanya
adalah sebelum diIslamisasikan adalah satu dakwaan tanpa bukti yang jelas.
Apakah dalil mukhassis yang ingin digunakan oleh beliau
dalam menegaskan pandangan itu?. Jika surah al-Ikhlas ingin dijadikan dalil,
maka surah ikhlas adalah suatu penjelasan konsep tauhid dan pengunaan nama
Allah secara tepat sahaja. Ia bukan mukhassis kepada umum satu
waktu kepada waktu yang lain. Justeru apakah dalil bagi menganggap Allah di
zaman jahiliyyah yang disebut dalam ayat itu terhad kepada satu waktu tertentu,
dan tidak selepas kebangkitan Nabi SAW ?
Bagi saya, ayat-ayat di atas tadi jelas menunjukkan pengunaan nama Allah
bagi bukan Islam dibenarkan dari dulu sehingga sekarang bagi merujuk kepada
Tuhan, tidak ada persoalan ‘Tuhan Umum' dan ‘Tuhan Khusus' dalam bab ini. Yang
ada adalah kes kafir musyrik beriman kepada ketuhanan Allah tetapi mereka sesat
kerana mensyirikkan Allah.
Dr Khalif juga berkata :
"Here the word Allah cannot mean the true God because they don't know who Allah is simply because no prophet was sent to them. Therefore, the use of Allah here is to mean God in general."
"Here the word Allah cannot mean the true God because they don't know who Allah is simply because no prophet was sent to them. Therefore, the use of Allah here is to mean God in general."
Dakwaan ini agak ganjil bagi saya, kerana Nabi-nabi telah dihantar
secara bersambung-sambung dari nabi Adam, walau dimusim ketiadaan nabi seperti
zaman bapa nabi, beliau menggunakan nama Abdullah merujuk kepada syariat yang
dibawa oleh nabi sebelumnya iaitu nabi Isa.
Justeru, Arab jahiliyah hakikatnya mengetahui siapa itu Allah dan boleh
membaca berkenaannya melalui syariat Nabi sebelum Nabi Muhammad. Bukankah bapa
saudara Khadijah bernama Waraqah Bin Nawfal yang meramal Nabi Muhammad akan
menjadi Nabi, itu tahu siapa itu Allah melalui wahyu kepada nabi-nabi sebelum
Nabi Muhammad.[2]
Lihat pula bagaimana seorang penyair Jahiliyah bernama Lubayd Bin
Rabi'ah selalu mempersembahkan syairnya, lalu baginda Nabi mengakui satu syair
Lubayd yang ada menyebut nama Allah. Hadis Nabi ini berbunyi :-
أصدق كلمة قالها شاعر
, كلمة لبيد بن ربيعة : ألا كل شيء ما خلا الله باطل
Ertinya : Sebenar-benar perkataan yang dikatakan oleh penyair
(Jahiliyah) adalah perkataan Lubayd bin Rabiah yang berkata : "Ketahuilah
semua perkara selain Allah adalah batil (hancur)"[3]
Jelas dari hadis ini bahawa Jahiliyyah dahulu sudah kenal Allah dan
kekuasaan-Nya, Cuma mereka menyembah berhala sebagai perantara lalu syiriklah
mereka.
Selain itu, bukankah terdapat dalam sirah nabawiyyah, apabila sahabat
nabi menyebar kalimah tauhid kepada pemimpin kafir, sebahagian mereka memberi
response :
إذن تحاربك العرب و العجم
"kalau begitu, ‘Arab dan ‘ajam (bukan arab) pasti akan
memerangimu" kata-kata mereka ini menunjukkan arab Jahiliyyah memahami
erti nama Allah dan erti mentauhidkan Allah, tetapi mereka degil dan tetap mahu
mensyirikkan-Nya dengan berhala mereka kerana itu adalah ajaran nenek moyang
mereka dan mereka beroleh manfaat duniawi dari kepercayaan itu. Lalu pengakuan
kalimah Shahadah bakal mengubah keseluruhan hidup mereka. [4]
Maka oleh itu, dari dalil-dalil di atas, jelas Allah membiarkan nama-Nya
digunapakai oleh kafir Musyrik apabila merujuk sebagai Tuhan pencipta,
namun Allah ta'ala mengutuk dan membetulkan kesalahan mereka apabila
mereka menyekutukan Allah dengan selain-Nya.
Justeru itu, jika Kristian di Malaysia atau dimana juga, jika
mereka ingin menggunakan nama Allah merujuk kepada Tuhan pencipta, ia
adalah benar, betul dan diharuskan. Kerana Allah sememangnya Tuhan dan
pencipta dan maha berkuasa. Namun tindakan mereka mengaitkan Allah dengan
trinity, berhala dan sebagainya adalah Syirik dan salah dan dikutuk oleh Allah
sendiri di dalam Al-Quran. Pun begitu, pokoknya, mereka HARUS menggunakan nama
Allah apabila ingin merujuk kepada Tuhan, kerana Allah sememangnya Tuhan, apa
yang TIDAK HARUS adalah mensyirikkanNya dengan yang lain.
Malah penggunaan nama Allah dan pengakuan ketuhanan Allah ini juga dapat
dilihat dalam syair-syair Arab Jahiliyyah, seperti syair oleh Ubayd bin Abras :
من يسأل الناس يحرموه
* وسائل الله لا يخيب
Ertinya : Sesiapa yang meminta dari manusia, tidak diberi * dan yang
meminta dari Allah tidak rugi.
Syair dari Uways Bin Hujr:
وباللات والعزى ومن دان دينها * وبالله إن الله منهن أكبر
Ertinya : dan demi Latta dan Uzza dan yang hampirinya* dan demi Allah,
sesungguhnya Allah itu lebih besar dari mereka (berhala) [5]
JADI, ADAKAH KALAU MEMBENARKAN KITA AKAN JADI KUFUR KERANA IKTIRAF
KESYIRIKAN MEREKA?
Tidak begitu, apa yang dibenarkan oleh Allah ta'ala sendiri adalah bukan
Islam boleh guna nama Allah apabila merujuk kepada Tuhan, tetapi Allah mengutuk
dan melarang mereka mensyirikkanNya. Justeru, itulah tugas umat Islam,
berdakwah dan memperbetulkan keyakinan salah mana-mana kafir yang mensyirikkan
Allah dengan yang selainNya. Kita tidak boleh menafikan benarnya dakwaan mereka
bahawa nama Allah itu juga merujuk kepada Tuhan, apa yang kita mesti dan boleh
nafikan hanyalah Allah itu tidak punyai anak, dan sekutu.
Atas asbab itulah wujudnya tugas berdakwah, bagi mengajak mereka kembali
kepada mentauhidkan Allah. Jika kita telah atau sedang berdakwah, MEREKA TETAP
DEGIL, Allah mengajar kita meletakkan pendirian seperti berikut :-
· Biarkan mereka dengan
agama dan keyakinan salah mereka dan pisahkan diri kita dengan keyakinan mereka.
Pendirian ini nyata dari firman Allah berikut :-
وَإِن كَذَّبُوكَ فَقُل لِّي عَمَلِي وَلَكُمْ عَمَلُكُمْ أَنتُمْ
بَرِيئُونَ مِمَّا أَعْمَلُ وَأَنَاْ بَرِيءٌ مِّمَّا تَعْمَلُونَ
Ertinya : Jika mereka mendustakan kamu, maka katakanlah:
""Bagiku pekerjaanku dan bagimu pekerjaanmu. Kamu berlepas diri
terhadap apa yang aku kerjakan dan aku pun berlepas diri terhadap apa yang kamu
kerjakan (Yunus : 41)
Firman Allah :-
وَإِذَا سَمِعُوا اللَّغْوَ أَعْرَضُوا عَنْهُ وَقَالُوا لَنَا
أَعْمَالُنَا وَلَكُمْ أَعْمَالُكُمْ سَلَامٌ عَلَيْكُمْ لَا نَبْتَغِي
الْجَاهِلِينَ
Ertinya : Dan apabila mereka mendengar perkataan yang tidak bermanfaat,
mereka berpaling daripadanya dan mereka berkata: ""Bagi kami
amal-amal kami dan bagimu amal-amalmu, kesejahteraan atas dirimu, kami tidak
ingin bergaul dengan orang-orang jahil ( Al-Qasas : 55 )
Firman Allah :-
لَكُمْ دِينُكُمْ وَلِيَ دِينِ
Ertinya : Untukmulah agamamu dan untukkulah agamaku (Al-Kafirun : 6)
KESIMPULAN :
Hasil dari beberapa petikan dan kumpulan teks al-Quran ini,
majoriti ulama Islam di zaman silam sehingga hari ini dari pelbagai
Negara telah berijtihad, hukum HARUS bagi bukan Islam untuk menggunakan nama
Allah bagi merujuk kepada Tuhan. Namun kesalahan mereka yang perlu didakwah dan
diperbetul adalah kerana menyekutukan Allah sahaja. Itulah juga pandangan yang
terlebih kuat pada hemat saya. Namun perlu difahami, hukum HARUS di peringkat
ini tidak semestinya akan berterusan pada setiap keadaan sehingga mesti
dibenarkan oleh kerajaan Malaysia tanpa banyak soal. Satu faktor lain mesti
diteliti iaitu faktor dakwah dan penjagaan konflik yang boleh mengugat
keamanan.
2. NAMA ALLAH DARI
PERSPEKTIF DAKWAH
Faktor dakwah yang saya maksudkan di sini boleh merujuk kepada Maqasid
Shariah yang pertama iaitu ‘mempertahankan Islam' (Hifdzu ad-Din).
Menurut Imam As-Syatibi, mempertahankan aqidah Islam adalah wajib dalam dua
bentuk iaitu:-
· Mengukuhkan aqidah Islam melalui ajaran, ajakan dan sebaran
kefahaman tauhid yang betul.
· Mempertahankan aqidah Islam dari penyelewangan, pengeliruan dan gangguan
gerakan bukan Islam.
Apabila saya merujuk kepada penulisan beberapa tokoh dan ilmuan di
Malaysia dalam isu penggunaan nama Allah ini, saya melihat majoriti mereka
mencampur adukkan fokus dan penyataan hukum disebabkan terpengaruh dengan
faktor kedua ini. Mereka banyak mengulas dalam konteks ini berbanding konteks
hukum asal dan asas.
Sebagai contoh:-
Prof Madya Dr Khadijah Hambali [6] dalam tulisannya
membuktikan TIDAK BENARNYA dakwaan Kristian dan rasional mereka yang ingin
menggunakan nama Allah kerana nama itu yang wujud di dalam kitab bible asli
mereka. Beliau membawakan petikan-petikan yang membuktikan hujahnya. Di samping
itu, beliau juga mengulas ketidakwajaran terjemahan God kepada Allah dari sudut
bahasa dan mempertikaikan rujukan Kristian dalam hal ini.
Saya bersetuju dengan hujjah Dr Khadijah ini, namun perlu difahami apa
yang dibawakan oleh Dr Khadijah sebenarnya lebih cenderung kepada faktor dan
objektif dakwah, kerana ia jelas memperlihatkan beliau menolak keharusan
(penggunaan nama Allah oleh Kristian), melalui kaedah menghancurkan hujjah
Kristian, selain menimbulkan keraguan kepada sumber rujukan Kristian itu
sendiri. Saya tidak melihat beliau mengulas dari perspektif hukum Islam berasaskan
dalil-dalil al-Quran tetapi beliau berusaha mematikan alasan kumpulan Kristian
agar melaluinya diharap dapat melunturkan keinginan Kristian untuk meneruskan
permohonannya. Ini bermakna Dr Khadjiah menolak atas dasar dan
rasional untuk mempertahankan dakwah Islam dan aqidah Islam dalam konteks
semasa, bukan atas hujjah teks Al-Quran dan Hadis secara specifik. Ia jelas
cara seorang pendakwah mengemukakan hujahan balas kepada pihak bertentangan.
Kesimpulannya, hukum larangan dan bantahan yang dikemukan oleh Dr Khadijah
berpaksikan hujjah dan maqasid dakwah dan situasi setempat dan
bukan hujjah menafikan hukum asal keharusan.
Ada juga yang penulis yang berhujjah termasuk Dr Khadijah dan ramai lagi
penulis lain, menyatakan bahawa kebenaran TIDAK BOLEH diberi kerana Kristian
menggunakan nama ALLAH PADA KONTEKS DAN MASKUD YANG SALAH, seperti dikaitkan
sebagai Tuhan bapa, mensyirikanNya dan sebagainya.
Bagi saya ini bukanlah hujjah yang betul untuk melarang, kerana JIKA
semua penganut Kristian menggunakan Nama Allah pada tempat yang betul maka
tidaklah mereka menjadi Kristian, lalu mereka akan seolah mengikut Islam secara
paksaan pula. Bukankah mereka bukan Islam dan mempunyai keyakinan agama
tersendiri?. Maka kita tidak boleh memaksa mereka untuk mengikut
penggunaan nama Allah pada tempat yang betul menurut aqidah Islam kerana mereka
BUKAN ISLAM (atau belum). Apa yang boleh dilarang adalah MENYEBAR KEKELIRUAN
DAN AJARAN SALAH MEREKA (MENURUT PERTIMBANGAN AQIDAH ISLAM) ITU KEPADA UMAT
ISLAM.
Dato' Dr Haron Din, dalam rakaman penjelasannya memperlihatkan beliau
menolak dan memberi amaran atas dasar maslahat dakwah dan bukan sangat
bergantung kepada teks al-Quran dan Hadis.
Tulisan Dr. Syed Tawfiq Al-Attas[7], yang juga jelas
memperlihatkan ulasannya menolak rasional terjemahan God kepada Allah dari
sudut bahasa. Selain itu, beliau juga menolak alasan Kristian yang kononnya
cuba merujuk kepada Bible. Kedua-dua bantahan Dr Syed ini bukanlah ulasan dari
perspektif hukum dan Aqidah Islam tetapi lebih kepada mematikan alasan
Kristian, sama seperti Dr Khadjiah. Justeru, tulisannya lebih mirip sebuah
tulisan terpengaruh dengan objektif dakwah. Ia lebih kepada sebab dakwah dan
bukan hujjah teks Al-Quran secara specifik. Hukum larangan yang diletakkan oleh
Dr Syed ini jelas berpaksikan hujjah dan maqasid dakwah dan situasi setempat
sebenarnya.
Hal yang sama juga boleh dilihat dalam tulisan Pegawai JAKIM, Ust Aizam
Mas'oud. Yang dengan jelas penulisannya berobjektif dakwah berbanding
menjelaskan hukum asal. Dari 5 hujjah yang dikemukakan hampir kesemuanya
membantah melalui bangkangan hujjah dan alasan Kristian. Hanya satu sahaja
ulasan mengulas teks Al-Qurqan, beliau menyertakan dua hujjah menolak. Namun
kedua-duanya tidak kukuh tapi tidak sempat untuk saya ulas di kesempatan ini.
Begitulah juga Fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan dalam fatwa tahun 2008,
pandangan Ketua Pengarah JAKIM dan hampir semua pegawai-pegawai JAKIM dan IKIM
yang lain. Semua mereka bagi saya, mengulas dari sudut realiti dakwah, situasi
khas di Malaysia dan berobjektif mempertahankan dakwah dalam konteks dan
situasi khusus Malaysia. Ia bukan mengulas dari sudut hukum asal dari teks
Al-Quran.
Malah tulisan ringkas saya yang disiarkan dahulu di web ini
juga, selepas saya menyatakan hukum asal adalah HARUS, TETAPI realiti dan
konteks semasa dakwah di Malaysia BOLEH menghasilkan keputusan ijtihad yang
berbeza, iaitu LARANGAN.
Namun begitu, walapun larangan telah difatwakan secara rasmi oleh Majlis
fatwa dan disokong oleh Institusi keagamaan rasmi dalam negara, ia tetap
sebagai sebuah ijtihad. Ijtihad hasil penelitian konsep mudarat dan manfaat
kepada umat Islam dan keharmonian rakyat.
Oleh kerana itu, pertimbangan seseorang dan sesuatu organisasi dengan
yang lain, dalam melihat kesan manfaat dan mudarat mungkin berbeza. Hasilnya,
beberapa ilmuan seperti Dr Mohd Asri, YB Khalid Samad, Dr Dzulkefli Ahmad, dan
parti politik seperti PAS, PKR dan sebagainya terus berpegang dengan hukum
asal, iaitu membenar dan mengharuskan orang Kristian untuk menggunakan kalimah
Allah tersebut. Jangan pula meletakkan syarat agar "Kristian TIDAK
MENYELEWENGKAN penggunaan nama Allah", ini kerana seleweng mengikut
piawaian kita tidak sama dengan penyelewengan mengikut piawaian mereka.
Justeru, syarat perlu konkrit dan jelas.
Oleh itu, kalau ada mana-mana pimpinan PAS atau PKR yang kurang
bersetuju dengan keputusan kerajaan untuk melarang, mereka sebenarnya tidak
perlu berhujjah dari sudut hukum asal lagi, kerana itu sudah diketahui dan
sememangnya majoriti ulama membenarkan, apa yang mereka perlu nyatakan adalah
bagaimana mekanisme dan cara bagi mengawal ketakutan dan kebimbangan dokumen
seperti gambar ini dari disebar kepada umat Islam yang berada dalam keadaan
lemah ilmu hari ini.
Memang benar, Kristian hanya minta untuk akhbar 'The Herald' dan bukan
untuk bahan bertulis yang lain atau gereja. tetapi itulah yang dibimbangi,
kebenaran ini dijadikan batu loncatan dan asas kepada permohonan yang lain-lain
selepas ini. Apakah jaminan yang mampu diberi oleh kumpulan ulama dan institusi
yang menyokong bahawa ia TIDAK AKAN merebak kepada yang lain?
Kita semua memang mengakui, keperluan mengukuhkan ilmu agar menjadi
benteng aqidah dan bukan semata-mata larang itu dan ini, namun larangan ini
adalah salah satu dari pendekatan siyasah yang dirasakan sesuai oleh Majlis
Fatwa Kebangsaan di ketika ini.
Mengapa berbeza?
Kerana pertimbangan dan penilaian setempat mereka yang berbeza. Bagi
saya, perbezaan mereka bukan isu besar sehingga boleh membawa kufur, ia
perbezaaan dalam ijtihad menilai keadaan dan situasi sahaja.
Siapa yang lebih rajih dan kukuh?
Jawabnya muzakarah perlu diadakan bagi kedua-dua pihak mengemukan
telahan dan penelitian mudarat dan manfaat yang dilihat dan dikenalpasti.
Mungkin sahaja satu pihak tidak terlihat dan tersedar manfaat dan mudarat yang
dilihat oleh pihak yang lain. Melalui cara
tersebut resolusi yang terbaik akan dapat dihasilkan. InshaAllah.
AL-QARADAWI DAN AZ-ZUHAYLI KATA BOLEH, BAGAIMANA?
Pandangan Syeikh Al-Qaradawi dan Wahbah Az-Zuhayli yang membenarkan
Kristian menggunakan Kalimah Allah sebagai merujuk kepada Tuhan, adalah tepat
tetapi fatwa mereka tidak sesuai digunakan untuk menyokong keputusan pihak yang
membenarkannya di Malaysia, ini kerana hukum asal sememangnya HARUS sebagaimana
yang telah saya datangkan hujjahnya di atas tadi.
Kedua-dua Syeikh ini sebenarnya memberi pandangan hukum asal berdasarkan
teks nas dan hadis, namun mereka tidak mempunyai autoriti yang cukup dari sudut
memahami realiti dan konteks khas di Malaysia. Justeru, pandangan ulama-ulama
luar Negara dalam konteks ini tidak tepat untuk dijadikan rujukan.
3. NAMA ALLAH DARI PERSPEKTIF KUASA
KERAJAAN (SIYASAH SYAR'IYYAH)
Setelah kita lihat hukum pengunaan nama Allah dari dua perspektif iaitu
hukum asal dan fleksibilitinya atas alasan maslahat dan mudarat dari
perspektif dakwah.
Jika sekiranya mudarat melebihi manfaat, adakah kerajaan selaku
pemerintah berhak dan dibenarkan oleh hukum Islam untuk melarang Kristian dari
menterjemahkan kalimah God kepada Allah?. Ini persoalan ketiga, perspektif
ketiga.
Ringkasan jawapan, kerajaan dibenarkan menggunakan kuasa dalam hal ini.
Dan peruntukkan kuasa itu sememangnya diakui di dalam undang-undang Islam. Saya
tidak ingin mengulas lanjut keharusan ini bagi mengelakkan artikel ini terlalu
panjang. Cukuplah saya ingin membawa pembaca kepada ringkasan ulasan saya yang
terdahulu dalam bab ini. Rujuk sini
KESIMPULANNYA
Kesimpulan tulisan ini adalah :-
1- Tiada dalil qati'e yang putus
sebagai asas dan indikasi hukum bagi penganut Kristian dan bukan Islam
menggunakan nama Allah bagi merujuk kepada Tuhan.
2- Terdapat banyak dalil Al-Quran yang bersifat zhonniyah
ad-dalalah yang menunjukkan KEHARUSAN bagi penganut Kristian dan bukan
Islam menggunakan Nama Allah bagi merujuk kepada Tuhan. Ia adalah pandangan
majoriti ulama termasuk Syeikh Dr Yusuf Al-Qaradawi, Dr Wahbah Az-Zuhayli dan
lainnya.
Terdapat juga beberapa kumpulan ulama cenderung
kepada hukum haram, namun kebanyakan hujjahnya bercampur baur antara hujjah
teks al-Quran dan hujjah maslahat dan dakwah. Justeru, melalui penelitian saya,
pandangan yang melarang adalah lemah jika ditinjau dari perspektif argumentasi
teks Al-Quran. Namun larangan boleh dibuat atas dasar masalah dakwah yang
khusus di Malaysia.
3- Ulama tanahair terbahagi kepada dua kumpulan dalam
menentukan keharusan atau pengharaman dari perspektif dakwah dan melihat
situasi khas di Malaysia. Majlis Fatwa dan yang bersamanya kelihatan
mengharamkan manakala PAS, PKR dan individu masih menganggapnya sebagai HARUS
dengan syarat-syarat tertentu. Melalui penilitian saya dalam konteks khusus di
Malaysia, saya cenderung bersama Majlis Fatwa Kebangsaan dalam hal ini. Namun
saya tidak melihat pandangan mereka yang membenarkan dengan syarat sebagai
salah kerana ia merupakan sebuah isu ijtihadi dalam menilai mudarat dan
manfaat. Perbezaan telahan dalam hal ini sememangnya sukar dielakkan.
4- Jikalau keputusan mahkamah (selepas rayuan) tetap
mengizinkan penerbit Kristian menterjemah kalimah ‘God' kepada Allah dalam
penerbitan mereka. Saya bersetuju dengan pandangan pelbagai pihak yang
mencadangkan agar Kerajaan mengadakan segera muzakarah dan dialog di antara
ulama, pakar undang-undang dan pihak Kristian bagi memastikan kebenaran itu
tidak digunakan untuk mengelirukan umat Islamdan segala penulisan dihadkan
kepada penganut Kristian semata-mata. Tatkala itu syarat-syarat dan perjanjian
perlu dibuat bagi menjaga kehamonian masyarakat dalam Negara.
Sekian
Zaharuddin Abd Rahman
8 Februari 2010
[1] http://www.myislamnetwork.net/component/content/article/1-artikel-pilihan/48-why-non-muslims-cannot-use-the-word-allah-dr-khalif-muammar.html
[2] Rujuk riwayat
pertemuan Khadijah dengan Waraqah dalam Sohih Muslim dan syarahnya oleh Imam
An-Nawawi , begitu juga Fathul Bari oleh Ibn Hajar.
[3] Sohih al-Bukhari,
dengan syarah Ibn Hajar ( Fathul Bari, Kitab al-Adab, no 6147, jil 10, hlm 660)
; Sohih Muslim, 15/8 cet. Darul Ma'rifat
[4] Fi dzilal al-Quran,
Syed Qutb
[5] Al-Asnam, Ibn
al-Kalbi, hlm 17
[6] http://www.misgonline.com/index.php?option=com_content&view=article&id=431:perbezaan-penggunaan-kalimah-allah-dalam-agama-islam-dan-kristian&catid=126:januari-2010&Itemid=300078
[7] http://www.myislamnetwork.net/component/content/article/2-e-akhbar/49-menelusuri-kemelut-kalimah-oleh-datuk-dr-syed-ali-tawfik-al-attas.html